BIBLIOGRAFI
DATO’ ALIFF SYUKRI KAMARZAMAN
Kebanyakan
orang memasang impian untuk menjadi seorang usahawan, menjadi bos serta
mencipta kerjaya sendiri adalah sangat menarik. Namun, untuk membuka sebuah
perniagaan pun ianya pasti akan memakan waktu yang panjang, lebih-lebih lagi
jika berhasrat untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Usahawan
ditakrifkan sebagai seorang yang hidup bernafaskan kejayaan serta keinginan
yang meluap-luap untuk berjaya meskipun perlu berhadapan dengan pelbagai risiko
perniagaan.
Menggunakan
tagline “Terlajak Laris” sebagai salah satu strategi pemasaran, beliau memang
boleh dianggap benar-benar berjaya. Tagline yang mudah dan ringkas itu seakan-akan
menjadi satu fenomena yang kini meniti di bibir segenap lapisan masyarakat
tanpa mengira peringkat usia. Siapakah gerangan pencetus fenomena itu? Beliau
ialah jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri bin Kamarzaman. Beliau dilahirkan pada
03 April 1987 di Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang dan kini berusia 28 tahun.
Beliau telah berpindah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan
Sungai Besar, Selangor di mana kemudian di Sekolah Menengah Telok Gadong,
Klang. Kemudian, beliau meneruskan lagi pengajian di Sekolah Pondok Pasir
Tumbuh, Kelantan. Selepas sahaja tamat pengajian di sekolah pondok, beliau
menyambung pelajaran di Sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah Alam sehingga
tigkatan 5 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Taylor College. Anak ketiga
kepada pengasas Sendayu Tinggi itu mengakui menerajui perniagaan yang
didominasi wanita bukan satu perjalanan yang mudah. Masalah dari segi modal dan
kesukaran mencari kepercayaan daripada orang lain kadangkala melemahkan
semangat beliau. Namun, mengingatkan asal-usul, kesusahan, dan hobi beliau yang
gemar menghias dan memasak sejak kecil, menjadikan beliau untuk terus kuat
berniaga. Kesusahan itu menjadikan beliau mempunyai lebih banyak pengalaman dan
pengalaman itu beliau jadikan didikan untuk menerajui syarikatnya kini.
Penglibatan
beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan
berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kini.
Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen
yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia tujuh tahun lagi sewaktu
tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk
berniaga apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih 50 sen
manakala beliau hanya 20 sen. Melihatkan keadaan di sekeliling rumah neneknya
terdapat pokok mempelam dan jambu tumbuh subur, beliau tanpa meminta
pertolongan, memanjat pokok tersebut dan hasilnya dijadikan jeruk untuk dijual
di sekolah. Jika budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah
untuk mengisi buku, namun untuk beliau, pasti akan ada satu lagi beg tambahan
untuk memuatkan jeruk yang dihasilkannya untuk dijual pada harga antara 10 hingga
20 sen. Perniagaan kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan lantas memberi
keyakinan kepada beliau untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah
dengan menjual pelbagai jenis kerongsang dan juga tudung serta barangan
kosmetik. Habis zaman persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan
dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama
terkenal. Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk
pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan
tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, namun ianya menjadi titik
permulaan untuk beliau serius berkecimpung dalam bidang perniagaan. Baginya,
malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya
tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas berhempas pulas berniaga
dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul, beliau mula menyewa
sebuah kiosk di pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor.
Beliau
telah berkahwin dan kini mempunyai tiga orang cahaya mata, bergelar suami dan
bapa pada usia muda serta tinggal di kota raya membuatkan beliau perlu mencari
jalan menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau akan membuat bengkel
kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta mahupun
kerajaan. Beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa
bengkel itu dijalankan seperti pepatah melayu “Sambil menyelam minum air”.
Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM5 hingga RM10 sahaja.
Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga
RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau
mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau
mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua
simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk
jenamanya sendiri. Walaupun sedar risiko muflis itu ada, namun selepas membuat
kajian selama beberapa bulan, syarikatnya D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. berjaya
mengeluarkan gincu kolagen pertama di Malaysia. Pada peringkat awal pengenalan
jenama D’Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi
Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk
menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan
jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu
milik segenap lapisan masyarakat.
Pertubuhan
awal syarikat D'Herbs Holdings (M) dimana dahulunya dikenali sebagai D'Herbs
Healthy Marketing telah ditubuhkan pada September 2010. Pada awalnya, mereka
hanya beroperasi di lot kedai di tingkat 2 dengan seorang pekerja sahaja dan mempunyai
4 produk utama iaitu Bedak Asas, Produk pelansingan, Minuman Kesihatan Wanita,
dan Lipstick Rawatan Bibir. Namun, kini beliau telah mengorak langkah maju
setapak kehadapan dengan menghasilkan hampir 90 rangkaian produk baru dengan
seramai 35 orang kakitangan yang membantu melancarkan perjalanan syarikat.
Bermula dengan hanya beroperasi di tingkat 2, mereka telah berpindah di lot
kedai bawah dan telah menyewa dua lot kedai bagi melancarkan urusan perniagaan
dan memudahkan semua rakan niaga berurusan. Tahun 2012 merupakan tahun kemuncak
bagi produk D’Herbs di mana beliau telah bernaung di bawah label syarikat
Sendirian Berhad dan telah mengembangkan perniagaan dengan berpindah ke
bangunan 4 tingkat milik syarikat yang lebih strategik dan selesa. Dengan
perpindahan ini, syarikat mampu menyakinkan semua stokis dan pengedar untuk
menjual dan memasarkan produk D’herbs dengan lebih meluas dan berkembang maju.
Sehingga kini, D’Herbs telah mengiklankan produknya di majalah dan akhbar yang
terlaris di Malaysia seperti Mingguan Wanita, Midi, Keluarga, Harmoni, Metro,
di mana iklan ini telah disiarkan setiap minggu dan ianya memberi impak yang
sangat besar kepada prestasi jualan produk beliau. Beliau juga seringkali
keluar di kaca-kaca televisyen atau bersiaran di radio-radio Nasional bagi
mempromosi dan mengiklanan produk keluaran syarikat beliau sendiri, dan
ternyata ianya masih mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Lebih
membanggakan lagi, D'Herbs juga telah menaja program-program hebat seperti
Akademi Fantasia dan Bintang Mencari Bintang yang disiarkan di Astro dan TV3.
Malah, Da’i Musim Ke-3 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada hari Ahad yang
lalu juga merupakan rancangan terbaru tajaan syarikat jutawan muda ini. Istimewanya
lagi mengenai produk beliau adalah bahan-bahan yang digunapakai adalah 100%
berasaskan herba dan juga murah berbanding produk kesihatan lain yang terdapat
di pasaran. Produk D’ Herbs kini boleh didapati dengan harga serendah RM15 di
setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi, kedai
jamu, dan pusat jualan D’ Herbs sendiri. Bahkan, beliau turut menjadikan
empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, kerana beliau berharap dapat
mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu,
beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada
masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna.
Malah
dengan prestasi jualan yang semakin meningkat hari demi hari, beliau juga telah
membuka beberapa anak syarikat iaitu Megah Perawan Sdn. Bhd dimana mereka hanya
berurusan dengan seorang stokis tunggal yang dilantik dan akan bertanggungjawab
memasarkan produk Megah Perawan Sdn. Bhd di seluruh Malaysia dan setakat ini
permintaan produk ini amat mendapat sambutan daripada pengguna-pengguna di
seluruh Malaysia. D’Herbs juga telah membuka sebuah syarikat yang dinamakan
Aliff Herbs Manufacturing Sdn. Bhd di mana syarikat ini khusus untuk
pengilangan produk kesihatan dan kecantikan dan kami juga membuka ruang kepada
syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah
syarikat ini. Di samping itu, produk D’herbs menjadi pilihan hati apabila
mereka menyediakan kemudahan dan perkhidmatan dari awal sehingga akhir
penghasilan sesebuah produk termasuk penghasilan kotak dan reka bentuk produk
mengikut citarasa dan kepuasan pelanggan. Sehingga kini D'Herbs telah menjadi
satu jenama yang semakin mendapat tempat di hati pengguna samada di Malaysia,
Singapura dan Brunei dengan beroperasinya secara rasmi di Wisma D'Herbs di Kota
Damansara dan beliau juga telah berazam untuk menjadikan produk D’Herbs sebagai
salah satu jenama kosmetik yang terkenal di Malaysia serta negara-negara jiran
yang lain dan matlamat sehingga ke seluruh dunia harapnya.
Bagi
menjayakan matlamat yang diingini, penetapan visi, misi dan objektif syarikat
adalah elemen yang sangat penting di mana ianya merupakan pandu arah untuk
mencapai matlamat organisasi. Maka dengan itu, beliau telah meletakkan visi
utama D’Herbs untuk menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan
produk kecantikan dan kesihatan dengan konsep terbuka yang lebih mudah dan
ringkas sekaligus mempunyai sistem yang terbaik dari segi pengurusan,
keberkesanan, kualiti serta harga yang berpatutan di mana ianya mampu dimiliki
oleh semua golongan sekaligus dapat menjana pendapatan serta keuntungan bagi
kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan peniaga. Manakala, misi bagi menjadikan
syarikat D’Herbs Holdings (M) sebagai satu syarikat single level, mereka akan
membantu golongan wanita dan lelaki yang mengalami masalah kesihatan dalaman
dan luaran untuk tampil dengan lebih yakin dan bergaya. Di samping itu juga,
ianya dapat membantu mereka untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan dengan
menjual produk daripada D'Herbs.
Syarikat
D’Herbs Holding (M) yang telah beroperasi secara kukuh selama 4 dengan mengeluarkan
pelbagai jenis produk-produk kecantikan bagi semua golongan umur, jantina,
bahkan agama. Produk dengan tagline “Terlajak Laris” itu juga telah menyebabkan
penghasilan produk daripada syarikat ini menjadi antara produk yang terlaris di
pasaran. Syarikat beliau juga turut menyediakan sistem latihan dan bantuan
aktiviti bagi mereka yang berminat menjadi pengeluar mahupun pengedar produk-produk
kecantikan. Bagi pekerja di bawah D’Herbs Holdings (M), bonus serta ganjaran
yang menarik dan mampu dicapai juga antara sebab D’Herbs menjadi syarikat
pilihan untuk bekerja. Hal ini demikian kerana, ianya dapat dijadikan sebagai
motivasi kepada pekerja untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja.
Malahan, dewasa ini, penggunaaan IT telah menjadi medium penting dalam
kehidupan seharian memandangkan ianya mampu mempermudahkan segala urusan.
Implikasinya, perniagaan atas kalian kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan
di mana syarikat D’Herbs juga telah mewujudkan satu kemudahan online. Tujuan
lain penubuhan kemudahan online ini adalah untuk memudahkan para pelanggan
membuat pesanan sekiranya tidak mempunyai masa terluang untuk singgah di kiosk
atau kedai-kedai jamu yang berhampiran. Oleh itu, bagi segala pesanan produk
D’Herbs atas talian (online), ianya boleh didapati melalui Syarikat D’Herbs
Global Marketing yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan belian atas
talian dengan melayari laman web www.deherbs.com.my atau
www.facebook.com/DeherbsHealthySdnbhd. Kesimpulannya,
D’Herbs yang merupakan sebuah syarikat berlesen dan milik penuh Bumiputera di
samping komitmen pengasas D’Herbs itu sendiri, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman
yang begitu komited dengan pengeluaran produk yang berkualiti daripada
kilangnya sendiri serta keutamaan Bersih, Suci, dan Halal terhadap produk
keluarannya menyebabkan D’Herbs menjadi produk No. 1 pilihan semua.
CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN DATO ALIFF SYUKRI
KAMARZAMAN
Menjadi
seorang usahawan berjaya, pengorbanan yang besar serta masalah dan cabaran yang
dihadapi setiap hari seolah-olah tiada akhirnya. Maka ternyata, sifat
keusahawanan bukan untuk semua orang tapi bagi mereka yang berusaha gigih dan
tidak mudah melenting. Seperti ikon jutawan muda, Dato Aliff Syukri Kamarzaman
yang mempunyai empayar syarikat milik sendiri iaitu, D’Herbs Holdings (M) atas
kegigihan dan ciri-ciri seorang usahawan berjaya yang wujud dalam diri beliau,
kini beliau telah pun menempa nama dalam bidang perniagaan yang didominasi oleh
golongan wanita.
1. RANGKAIAN
Bidang
perniagaan abad ke-21, satu koleksi kad perniagaan di dalam simpanan tidak
membuatkan seseorang mempunyai banyak kenalan kerana hubungan rangkaian yang
wujud adalah yang membawa kepada peluang -peluang perniagaan dan memberi
manfaat dalam jangka yang panjang di samping saling menguntungkan di antara
satu sama lain. Namun, rangkaian bukan sahaja dari perspektif kenalan tetapi
ianya juga bergantung kepada sejauh mana produk yang dihasilkan mampu
dipasarkan. Jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman yang sangat terkenal
dengan produk D’Herbs “Terlajak Laris” telah menggunakan medium seperti media
massa dan media elektronik bagi mempromosikan produk keluaran DHerbs. Dapat
disimpulkan bahawa beliau mempunyai kenalan rangkaian yang luas terutama dalam
mempromosi dan mengiklankan produk beliau. Kenyataannya, sekiranya beliau tidak
mempunyai kenalan maka, beliau tidak akan mampu mempromosikan D’Herbs sehingga
ke negara Singapura dan Brunei. Bahkan, melebarkan sayapnya dengan membuka
beberapa anak syarikat seperti Megah Perawan Sdn. Bhd dan Aliff Herbs
Manufacturing juga antara tindakan yang bijak. Kini, beliau telah membuka
rangkaian penghasilan produk kecantikan dan kesihatan kepada mana – mana
syarikat yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat ini dengan
penyediaan kemudahan dan perkhidmatan dari mula penghasilan kotak sehingga reka
bentuk mengikut citarasa dan kepuasan pelanggan itu sendiri.
2. BERVISI
Usahawan
yang berwawasan adalah mereka yang mempunyai kebolehan merangka strategi di
samping, keupayaan melihat sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Bapa kepada
tiga orang cahaya mata, Dat Aliff Syukri Kamarzamanmerupakan seorang yang
mempunyai misi yang jelas bukan sahaja dalam hidupnya malah terhadap syarikat
miliknya juga. Beliau telah menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda
aras, dan berharap beliau juga dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu
jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan
500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada
para pengguna yang telah menjadikan produk D’herbs sebagai produk No.1 di
pasaran. Pada masa yang sama, beliau mempunyai wawasan untuk menjadikan D’Herbs
Holdings (M) sebagai sebuah syarikat single level yang mempunyai pengurusan
serta keberkesanan kualiti produk di mana ianya boleh didapati oleh semua
golongan usia dan kelas sosial.
3. PROAKTIF
Dalam
bidang perniagaan, sesuatau perkara akan berubah dengan begitu pantas, di mana
jika inovasi dilakukan pada hari ini dan akan menjadi usnag pada hari esok.
Oleh itu, bagi seorang usahawan yang berjaya, mereka perlu sentiasa berjalan
seiringan dengan trend yang sentiasa berubah-ubah. Mereka boleh menghadiri
seminar, membaca jurnal industri, atau sebarang bentuk bahan bacaan yang dapat
memberikan input untuk terus melakukan inovasi. Seperti peringkat awal
pengenalan jenama D’ Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk
mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya
serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu
untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya
adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Malahan, keputusan yang
dilakukan beliau untuk mengeluarkan produknya sendiri merupakan satu langkah
drastik yang boleh membuatkan beliau jatuh muflis. Namun, selepas beliau
melakukan kajian selama beberapa bulan, beliau yakin bahawa produk yang
dihasilkan mampu menjadi produk terhangat di pasaran.
4. PEMERHATIAN
Usahawan
yang berjaya adalah mereka yang menyedari dan sentiasa memerhati apa yang
terjadi pada dunia dan keadaan sekeliling mereka. Hal ini demikian kerana,
kebanyakkan idea yang datang adalah hasil daripada pemerhatian yang dilakukan.
Seperti tagline hangat yang menjadi datu fenomena dikalangan masyarakat iaitu
“Terlajak Laris”. Menurut beliau sebelum wujud tagline tersebut, pelbagai jenis
tagline digunapakai namun produk beliau tidak mendapat sambutan yang hangat.
Kemudian, beliau mendapati bahawa masyarakat kini suka pada bunyi dan perkara
yang pelik. Maka dengan itu, tagline “Terlajak Laris” dengan suara yang yang
meruncing dengan gaya yang lembut telah menjadi satu fenomena hangat sehingga
produk D’Herbs terjual laris di pasaran. D’Herb Holdings (M) yang pada ketika
itu masih lagi syarikat kecil telah menggunakan selebriti terkenal seperti
Bienda dan Watie Elite sebagai jurucakap produknya, dan ternyata produk beliau
telah menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan
juga Brunei. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah ianya murah
berbanding produk kesihatan lain di pasaran. Produk D’ Herbs boleh didapati
dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai kerana beliau yakin
dengan harga mampu milik tersebut, produknya mampu pergi jauh.
5. PENGAMBIL
RISIKO
Usahawan
berjaya adalah mereka yang bermula dari kegagalan dan tidak takut mengambil
risiko. Mereka adalah golongan yang berhadapan dengan risiko pada setiap hari.
Bahkan setiap risiko yang diambil, pastinya sudah dihitung tentang kebaikan dan
keburukannya. Jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman juga mengalami
keadaan yang sama bermula dari sekolah rendah sehingga beliau sudah mempunyai
empayar perniagaan sendiri. Seperti contoh, selepas beliau tamat persekolahan,
beliau mula menjalankan perniagaan kecil – kecilan dari rumah ke rumah menjual
jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal. Bukan itu sahaja,
pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual.
Walaupun ada kalanya terasa segan bahkan beliau pernah dicaci, diherdik, dan
ditengking kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan,
namun ianya telah menjadi titik permulaan untuk beliau serius berniaga. Di
samping itu juga, melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana
pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada
pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya
sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk
ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau telah gunakan sepenuhnya untuk
menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun beliau sedar risiko muflis itu
ada, namun bagi beliau, prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya
tetapi usaha dan kesungguhan paling penting.
KESIMPULAN
Usahawan
adalah individu yang mempunyai ciri-ciriistimewa yang dapat membezakan merek
dengan individu yang lain. Individu atau masyarakat yang ingin mengecapi
kejayaan seperti usahawan perlulah mendalami dan mempunyai ciri-ciri usahawan
seperti yang telah dibincangkan. Terdapat mitos yang sering diperkatakan
terhadap usahawan. Namun dengan ilmu pengetahuan yang mantap, masyarakat mula
sedar akan kepentingan usahawan dalam membangunkan ekonomi negara. Setiap
individu berpeluang untuk mengecapi kejayaan sebagai seorang usahawan kerana
ciri-ciri keusahawanan yang ada pada kebanyakan usahawan bukanlah dilahirkan secara
semulajadi tetapi adalah disebabkan faktor-faktor seperti mempunyai
dayainisiatif dan kejayaan yang tinggi, fokus kawalan dalaman yang tinggi serta
berkeyakinan terhadap kebolehan dirilah yang menjadikan mereka begitu hebat di
mata dunia.
RUJUKAN
Ang, J. (2014). Retrieved from
usahawanjennyang.blogspot.my
Mahmood, R., Nasyrah, A., Mohd Saad, R., Yusop, M.,
Norria, Syahrina, . . . Habshah. (2010). Prinsip-prinsip Keusahawanan
Pendekatan Gunaan Edisi Kedua. Singapore: CENGAGE Learning.
Mei, K. T. (2013). Retrieved from
usahawanwibawa.blogspot.my/2013/09/tony-fernandes-airasia.html
Zainal, F. (2015, 3 23). Tokoh-perniagaan:
Kisah-jutawan-produk-terlajak-laris. Retrieved 18 10, 2015, from
www.usahawan.com: http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/kisah-jutawan-produk-terlajak-laris.html