Saturday, 24 October 2015

TOKOH USAHAWAN BERJAYA (KEUSAHAWANAN UUM '15)

 BIBLIOGRAFI DATO’ ALIFF SYUKRI KAMARZAMAN

Kebanyakan orang memasang impian untuk menjadi seorang usahawan, menjadi bos serta mencipta kerjaya sendiri adalah sangat menarik. Namun, untuk membuka sebuah perniagaan pun ianya pasti akan memakan waktu yang panjang, lebih-lebih lagi jika berhasrat untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Usahawan ditakrifkan sebagai seorang yang hidup bernafaskan kejayaan serta keinginan yang meluap-luap untuk berjaya meskipun perlu berhadapan dengan pelbagai risiko perniagaan.
Menggunakan tagline “Terlajak Laris” sebagai salah satu strategi pemasaran, beliau memang boleh dianggap benar-benar berjaya. Tagline yang mudah dan ringkas itu seakan-akan menjadi satu fenomena yang kini meniti di bibir segenap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Siapakah gerangan pencetus fenomena itu? Beliau ialah jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri bin Kamarzaman. Beliau dilahirkan pada 03 April 1987 di Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang dan kini berusia 28 tahun. Beliau telah berpindah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor di mana kemudian di Sekolah Menengah Telok Gadong, Klang. Kemudian, beliau meneruskan lagi pengajian di Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Selepas sahaja tamat pengajian di sekolah pondok, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah Alam sehingga tigkatan 5 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Taylor College. Anak ketiga kepada pengasas Sendayu Tinggi itu mengakui menerajui perniagaan yang didominasi wanita bukan satu perjalanan yang mudah. Masalah dari segi modal dan kesukaran mencari kepercayaan daripada orang lain kadangkala melemahkan semangat beliau. Namun, mengingatkan asal-usul, kesusahan, dan hobi beliau yang gemar menghias dan memasak sejak kecil, menjadikan beliau untuk terus kuat berniaga. Kesusahan itu menjadikan beliau mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengalaman itu beliau jadikan didikan untuk menerajui syarikatnya kini.
Penglibatan beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kini. Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia tujuh tahun lagi sewaktu tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk berniaga apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih 50 sen manakala beliau hanya 20 sen. Melihatkan keadaan di sekeliling rumah neneknya terdapat pokok mempelam dan jambu tumbuh subur, beliau tanpa meminta pertolongan, memanjat pokok tersebut dan hasilnya dijadikan jeruk untuk dijual di sekolah. Jika budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku, namun untuk beliau, pasti akan ada satu lagi beg tambahan untuk memuatkan jeruk yang dihasilkannya untuk dijual pada harga antara 10 hingga 20 sen. Perniagaan kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan lantas memberi keyakinan kepada beliau untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah dengan menjual pelbagai jenis kerongsang dan juga tudung serta barangan kosmetik. Habis zaman persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal. Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, namun ianya menjadi titik permulaan untuk beliau serius berkecimpung dalam bidang perniagaan. Baginya, malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas berhempas pulas berniaga dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul, beliau mula menyewa sebuah kiosk di pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor.
Beliau telah berkahwin dan kini mempunyai tiga orang cahaya mata, bergelar suami dan bapa pada usia muda serta tinggal di kota raya membuatkan beliau perlu mencari jalan menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau akan membuat bengkel kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta mahupun kerajaan. Beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa bengkel itu dijalankan seperti pepatah melayu “Sambil menyelam minum air”. Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM5 hingga RM10 sahaja. Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun sedar risiko muflis itu ada, namun selepas membuat kajian selama beberapa bulan, syarikatnya D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. berjaya mengeluarkan gincu kolagen pertama di Malaysia. Pada peringkat awal pengenalan jenama D’Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat.
Pertubuhan awal syarikat D'Herbs Holdings (M) dimana dahulunya dikenali sebagai D'Herbs Healthy Marketing telah ditubuhkan pada September 2010. Pada awalnya, mereka hanya beroperasi di lot kedai di tingkat 2 dengan seorang pekerja sahaja dan mempunyai 4 produk utama iaitu Bedak Asas, Produk pelansingan, Minuman Kesihatan Wanita, dan Lipstick Rawatan Bibir. Namun, kini beliau telah mengorak langkah maju setapak kehadapan dengan menghasilkan hampir 90 rangkaian produk baru dengan seramai 35 orang kakitangan yang membantu melancarkan perjalanan syarikat. Bermula dengan hanya beroperasi di tingkat 2, mereka telah berpindah di lot kedai bawah dan telah menyewa dua lot kedai bagi melancarkan urusan perniagaan dan memudahkan semua rakan niaga berurusan. Tahun 2012 merupakan tahun kemuncak bagi produk D’Herbs di mana beliau telah bernaung di bawah label syarikat Sendirian Berhad dan telah mengembangkan perniagaan dengan berpindah ke bangunan 4 tingkat milik syarikat yang lebih strategik dan selesa. Dengan perpindahan ini, syarikat mampu menyakinkan semua stokis dan pengedar untuk menjual dan memasarkan produk D’herbs dengan lebih meluas dan berkembang maju. Sehingga kini, D’Herbs telah mengiklankan produknya di majalah dan akhbar yang terlaris di Malaysia seperti Mingguan Wanita, Midi, Keluarga, Harmoni, Metro, di mana iklan ini telah disiarkan setiap minggu dan ianya memberi impak yang sangat besar kepada prestasi jualan produk beliau. Beliau juga seringkali keluar di kaca-kaca televisyen atau bersiaran di radio-radio Nasional bagi mempromosi dan mengiklanan produk keluaran syarikat beliau sendiri, dan ternyata ianya masih mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Lebih membanggakan lagi, D'Herbs juga telah menaja program-program hebat seperti Akademi Fantasia dan Bintang Mencari Bintang yang disiarkan di Astro dan TV3. Malah, Da’i Musim Ke-3 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada hari Ahad yang lalu juga merupakan rancangan terbaru tajaan syarikat jutawan muda ini. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah bahan-bahan yang digunapakai adalah 100% berasaskan herba dan juga murah berbanding produk kesihatan lain yang terdapat di pasaran. Produk D’ Herbs kini boleh didapati dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi, kedai jamu, dan pusat jualan D’ Herbs sendiri. Bahkan, beliau turut menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, kerana beliau berharap dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna.
Malah dengan prestasi jualan yang semakin meningkat hari demi hari, beliau juga telah membuka beberapa anak syarikat iaitu Megah Perawan Sdn. Bhd dimana mereka hanya berurusan dengan seorang stokis tunggal yang dilantik dan akan bertanggungjawab memasarkan produk Megah Perawan Sdn. Bhd di seluruh Malaysia dan setakat ini permintaan produk ini amat mendapat sambutan daripada pengguna-pengguna di seluruh Malaysia. D’Herbs juga telah membuka sebuah syarikat yang dinamakan Aliff Herbs Manufacturing Sdn. Bhd di mana syarikat ini khusus untuk pengilangan produk kesihatan dan kecantikan dan kami juga membuka ruang kepada syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat ini. Di samping itu, produk D’herbs menjadi pilihan hati apabila mereka menyediakan kemudahan dan perkhidmatan dari awal sehingga akhir penghasilan sesebuah produk termasuk penghasilan kotak dan reka bentuk produk mengikut citarasa dan kepuasan pelanggan. Sehingga kini D'Herbs telah menjadi satu jenama yang semakin mendapat tempat di hati pengguna samada di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan beroperasinya secara rasmi di Wisma D'Herbs di Kota Damansara dan beliau juga telah berazam untuk menjadikan produk D’Herbs sebagai salah satu jenama kosmetik yang terkenal di Malaysia serta negara-negara jiran yang lain dan matlamat sehingga ke seluruh dunia harapnya.
Bagi menjayakan matlamat yang diingini, penetapan visi, misi dan objektif syarikat adalah elemen yang sangat penting di mana ianya merupakan pandu arah untuk mencapai matlamat organisasi. Maka dengan itu, beliau telah meletakkan visi utama D’Herbs untuk menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan dengan konsep terbuka yang lebih mudah dan ringkas sekaligus mempunyai sistem yang terbaik dari segi pengurusan, keberkesanan, kualiti serta harga yang berpatutan di mana ianya mampu dimiliki oleh semua golongan sekaligus dapat menjana pendapatan serta keuntungan bagi kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan peniaga. Manakala, misi bagi menjadikan syarikat D’Herbs Holdings (M) sebagai satu syarikat single level, mereka akan membantu golongan wanita dan lelaki yang mengalami masalah kesihatan dalaman dan luaran untuk tampil dengan lebih yakin dan bergaya. Di samping itu juga, ianya dapat membantu mereka untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan dengan menjual produk daripada D'Herbs.
Syarikat D’Herbs Holding (M) yang telah beroperasi secara kukuh selama 4 dengan mengeluarkan pelbagai jenis produk-produk kecantikan bagi semua golongan umur, jantina, bahkan agama. Produk dengan tagline “Terlajak Laris” itu juga telah menyebabkan penghasilan produk daripada syarikat ini menjadi antara produk yang terlaris di pasaran. Syarikat beliau juga turut menyediakan sistem latihan dan bantuan aktiviti bagi mereka yang berminat menjadi pengeluar mahupun pengedar produk-produk kecantikan. Bagi pekerja di bawah D’Herbs Holdings (M), bonus serta ganjaran yang menarik dan mampu dicapai juga antara sebab D’Herbs menjadi syarikat pilihan untuk bekerja. Hal ini demikian kerana, ianya dapat dijadikan sebagai motivasi kepada pekerja untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja. Malahan, dewasa ini, penggunaaan IT telah menjadi medium penting dalam kehidupan seharian memandangkan ianya mampu mempermudahkan segala urusan. Implikasinya, perniagaan atas kalian kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan di mana syarikat D’Herbs juga telah mewujudkan satu kemudahan online. Tujuan lain penubuhan kemudahan online ini adalah untuk memudahkan para pelanggan membuat pesanan sekiranya tidak mempunyai masa terluang untuk singgah di kiosk atau kedai-kedai jamu yang berhampiran. Oleh itu, bagi segala pesanan produk D’Herbs atas talian (online), ianya boleh didapati melalui Syarikat D’Herbs Global Marketing yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan belian atas talian dengan melayari laman web www.deherbs.com.my atau www.facebook.com/DeherbsHealthySdnbhd. Kesimpulannya, D’Herbs yang merupakan sebuah syarikat berlesen dan milik penuh Bumiputera di samping komitmen pengasas D’Herbs itu sendiri, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman yang begitu komited dengan pengeluaran produk yang berkualiti daripada kilangnya sendiri serta keutamaan Bersih, Suci, dan Halal terhadap produk keluarannya menyebabkan D’Herbs menjadi produk No. 1 pilihan semua.

CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN DATO ALIFF SYUKRI KAMARZAMAN
Menjadi seorang usahawan berjaya, pengorbanan yang besar serta masalah dan cabaran yang dihadapi setiap hari seolah-olah tiada akhirnya. Maka ternyata, sifat keusahawanan bukan untuk semua orang tapi bagi mereka yang berusaha gigih dan tidak mudah melenting. Seperti ikon jutawan muda, Dato Aliff Syukri Kamarzaman yang mempunyai empayar syarikat milik sendiri iaitu, D’Herbs Holdings (M) atas kegigihan dan ciri-ciri seorang usahawan berjaya yang wujud dalam diri beliau, kini beliau telah pun menempa nama dalam bidang perniagaan yang didominasi oleh golongan wanita.

1.         RANGKAIAN
Bidang perniagaan abad ke-21, satu koleksi kad perniagaan di dalam simpanan tidak membuatkan seseorang mempunyai banyak kenalan kerana hubungan rangkaian yang wujud adalah yang membawa kepada peluang -peluang perniagaan dan memberi manfaat dalam jangka yang panjang di samping saling menguntungkan di antara satu sama lain. Namun, rangkaian bukan sahaja dari perspektif kenalan tetapi ianya juga bergantung kepada sejauh mana produk yang dihasilkan mampu dipasarkan. Jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman yang sangat terkenal dengan produk D’Herbs “Terlajak Laris” telah menggunakan medium seperti media massa dan media elektronik bagi mempromosikan produk keluaran DHerbs. Dapat disimpulkan bahawa beliau mempunyai kenalan rangkaian yang luas terutama dalam mempromosi dan mengiklankan produk beliau. Kenyataannya, sekiranya beliau tidak mempunyai kenalan maka, beliau tidak akan mampu mempromosikan D’Herbs sehingga ke negara Singapura dan Brunei. Bahkan, melebarkan sayapnya dengan membuka beberapa anak syarikat seperti Megah Perawan Sdn. Bhd dan Aliff Herbs Manufacturing juga antara tindakan yang bijak. Kini, beliau telah membuka rangkaian penghasilan produk kecantikan dan kesihatan kepada mana – mana syarikat yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat ini dengan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan dari mula penghasilan kotak sehingga reka bentuk mengikut citarasa dan kepuasan pelanggan itu sendiri.

2.         BERVISI
Usahawan yang berwawasan adalah mereka yang mempunyai kebolehan merangka strategi di samping, keupayaan melihat sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Bapa kepada tiga orang cahaya mata, Dat Aliff Syukri Kamarzamanmerupakan seorang yang mempunyai misi yang jelas bukan sahaja dalam hidupnya malah terhadap syarikat miliknya juga. Beliau telah menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, dan berharap beliau juga dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna yang telah menjadikan produk D’herbs sebagai produk No.1 di pasaran. Pada masa yang sama, beliau mempunyai wawasan untuk menjadikan D’Herbs Holdings (M) sebagai sebuah syarikat single level yang mempunyai pengurusan serta keberkesanan kualiti produk di mana ianya boleh didapati oleh semua golongan usia dan kelas sosial.

3.         PROAKTIF
Dalam bidang perniagaan, sesuatau perkara akan berubah dengan begitu pantas, di mana jika inovasi dilakukan pada hari ini dan akan menjadi usnag pada hari esok. Oleh itu, bagi seorang usahawan yang berjaya, mereka perlu sentiasa berjalan seiringan dengan trend yang sentiasa berubah-ubah. Mereka boleh menghadiri seminar, membaca jurnal industri, atau sebarang bentuk bahan bacaan yang dapat memberikan input untuk terus melakukan inovasi. Seperti peringkat awal pengenalan jenama D’ Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Malahan, keputusan yang dilakukan beliau untuk mengeluarkan produknya sendiri merupakan satu langkah drastik yang boleh membuatkan beliau jatuh muflis. Namun, selepas beliau melakukan kajian selama beberapa bulan, beliau yakin bahawa produk yang dihasilkan mampu menjadi produk terhangat di pasaran.

4.         PEMERHATIAN
Usahawan yang berjaya adalah mereka yang menyedari dan sentiasa memerhati apa yang terjadi pada dunia dan keadaan sekeliling mereka. Hal ini demikian kerana, kebanyakkan idea yang datang adalah hasil daripada pemerhatian yang dilakukan. Seperti tagline hangat yang menjadi datu fenomena dikalangan masyarakat iaitu “Terlajak Laris”. Menurut beliau sebelum wujud tagline tersebut, pelbagai jenis tagline digunapakai namun produk beliau tidak mendapat sambutan yang hangat. Kemudian, beliau mendapati bahawa masyarakat kini suka pada bunyi dan perkara yang pelik. Maka dengan itu, tagline “Terlajak Laris” dengan suara yang yang meruncing dengan gaya yang lembut telah menjadi satu fenomena hangat sehingga produk D’Herbs terjual laris di pasaran. D’Herb Holdings (M) yang pada ketika itu masih lagi syarikat kecil telah menggunakan selebriti terkenal seperti Bienda dan Watie Elite sebagai jurucakap produknya, dan ternyata produk beliau telah menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan juga Brunei. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah ianya murah berbanding produk kesihatan lain di pasaran. Produk D’ Herbs boleh didapati dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai kerana beliau yakin dengan harga mampu milik tersebut, produknya mampu pergi jauh.

5.         PENGAMBIL RISIKO
Usahawan berjaya adalah mereka yang bermula dari kegagalan dan tidak takut mengambil risiko. Mereka adalah golongan yang berhadapan dengan risiko pada setiap hari. Bahkan setiap risiko yang diambil, pastinya sudah dihitung tentang kebaikan dan keburukannya. Jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman juga mengalami keadaan yang sama bermula dari sekolah rendah sehingga beliau sudah mempunyai empayar perniagaan sendiri. Seperti contoh, selepas beliau tamat persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil – kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal. Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan bahkan beliau pernah dicaci, diherdik, dan ditengking kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, namun ianya telah menjadi titik permulaan untuk beliau serius berniaga. Di samping itu juga, melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau telah gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun beliau sedar risiko muflis itu ada, namun bagi beliau, prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting.

KESIMPULAN
Usahawan adalah individu yang mempunyai ciri-ciriistimewa yang dapat membezakan merek dengan individu yang lain. Individu atau masyarakat yang ingin mengecapi kejayaan seperti usahawan perlulah mendalami dan mempunyai ciri-ciri usahawan seperti yang telah dibincangkan. Terdapat mitos yang sering diperkatakan terhadap usahawan. Namun dengan ilmu pengetahuan yang mantap, masyarakat mula sedar akan kepentingan usahawan dalam membangunkan ekonomi negara. Setiap individu berpeluang untuk mengecapi kejayaan sebagai seorang usahawan kerana ciri-ciri keusahawanan yang ada pada kebanyakan usahawan bukanlah dilahirkan secara semulajadi tetapi adalah disebabkan faktor-faktor seperti mempunyai dayainisiatif dan kejayaan yang tinggi, fokus kawalan dalaman yang tinggi serta berkeyakinan terhadap kebolehan dirilah yang menjadikan mereka begitu hebat di mata dunia.


RUJUKAN

Ang, J. (2014). Retrieved from usahawanjennyang.blogspot.my
Mahmood, R., Nasyrah, A., Mohd Saad, R., Yusop, M., Norria, Syahrina, . . . Habshah. (2010). Prinsip-prinsip Keusahawanan Pendekatan Gunaan Edisi Kedua. Singapore: CENGAGE Learning.
Mei, K. T. (2013). Retrieved from usahawanwibawa.blogspot.my/2013/09/tony-fernandes-airasia.html

Zainal, F. (2015, 3 23). Tokoh-perniagaan: Kisah-jutawan-produk-terlajak-laris. Retrieved 18 10, 2015, from www.usahawan.com: http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/kisah-jutawan-produk-terlajak-laris.html

Friday, 23 October 2015

CIRI-CIRI USAHAWAN BERJAYA (KEUSAHAWANAN UUM '15)

PENGENALAN
Usahawan merupakan penggerak dan pemangkin ekonomi negara. Sesebuah negara itu tidak akan mencapai taraf negara maju sekiranya tidak mempunyai usahawan yang berjaya serta berdaya saing yang tinggi. Hal ini kerana, usahawan itu merupakan tulang belakang dan nadi penggerak ekonomi sesebuah negara. Tugasan ini akan membincangkan mengenai ciri-ciri yang berkaitan dengan usahawan yang berjaya. Usahawan merupakan individu paling dinamik dan lebih bersedia untuk berhadapan dengan ketidaktentuan dalam usaha mereka untuk mengejar kejayaan. Ciri-ciri keusahawanan yang dimiliki akan menjurus mereka untuk menjadi lebih yakin serta lebih bersedia untuk merebut peluang serta berhadapan dengan cabaran.
1
            CIRI-CIRI USAHAWAN YANG BERJAYA BERSAMA TOKOH USAHAWAN.

1.         RANGKAIAN
Rangkaian adalah peralatan perniagaan yang memainkan peranan penting untuk menjadikan usahawan itu berjaya kelak. Rangkaian bererti hasil dari strategi hubungan yang lepas dan sumber untuk strategi yang akan datang. Sekiranya usahawan mempunyai rangkaian yang baik untuk pengguna luaran dan dalaman, ia akan menjadi mudah untuk usahawan memperolehi kelebihan terhadap peluang perniagaan dan menyelesaikan masalah mengenai perniagaan mereka. Oleh hal yang demikian, setiap usahawan perlu membina kemahiran rangkaian kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pencapaian sasaran objektif perniagaan.

       Selain itu, rangkaian yang baik juga mempunyai beberapa kelebihan kepada usahawan dan perniagaanya. Antara kelebihannya adalah kemudahan mencapai (accessibility) yang baik, reputasi yang baik yang boleh menjadi role model kepada usahawan yang lain dan jangkaan/pengharapan (expectation) contohnya, rakan rangkaian mungkin mengharapkan yang syarikat tersebut secara efektif menentukan harga untuk syarikat lain.

       Seterusnya, dalam golongan usahawan yang terkemuka di Malaysia, terdapat seorang tokoh perniagaan yang mempunyai ciri rangkaian dalam perniagaan yang diusahakan olehnya. Usahawan tersebut ialah Tan Sri Anthony Francis Fernandes yang juga dikenali sebagai Tony Fernandes. Beliau merupakan pengasas “Tune Air Sdn Bhd” yang memperkenalkan penerbangan tambang murah kepada rakyat Malaysia.

    Tony Fernandes menggunakan peluang rangkaian untuk melebarkan lagi legasi perniagaannya dengan membentuk usaha sama di Thailand dan Indonesia di mana AirAsia memegang 49% kepentingan dalam kedua-dua syarikat penerbangan di negara tersebut. Hubungan atau rangkaian yang baik terjalin antara syarikat penerbangan AirAsia dan beberapa buah syarikat penerbangan dan komunikasi di Thailand dan Indonesia telah membuka peluang syarikat AirAsia untu meluaskan perniagannyanya di rantau Asia malah turut menjadi buah mulut para usahawan diperingkat global. Kejayaan yang dimiliki oleh Tony fernandes kini boleh dijadikan sebagai contoh untuk menjadi perangsang kepada usahawan lain.

2.         PENGAMBIL RISIKO
Usahawan merupakan seorang insan biasa, apa yang membezakan antara usahawan dengan insan biasa adalah sikap mereka sendiri. Seorang usahawan lebih rela atau sanggup mengambil risiko dalam segenap penjuru keadaan demi sebuah kejayaan dalam hidupnya berbanding seorang insan biasa yang tidak sanggup mengambil sebarang risiko dalam meningkatkan taraf hidupnya. Oleh itu, seorang usahawan seharusnya mempunyai ciri sebagai seorang pengambil risiko yang baik demi perniagaannya. Banyak kajian mendapati bahawa kecenderungan mengambil risiko adalah sebahagian daripada ciri keperibadian seorang usahawan yang berjaya. Kecenderungan mengambil risiko dalam perniagaan hemdaklah secara bijak dan terancang. Keberanian mengambil risiko perlu diimbangi dengan pengetahuan dan kefahaman mengenai cara menialai dan menangani risiko terbabit.

        Bukan itu sahaja, beberapa tahun kebelakangan ini, pengurusan risiko semakin diberi penekanan dalam sudut pengurusan perniagan. Para pakar dan pengkaji pengurusan menghasilkan beberapa kaedah khusus untuk menilai risiko. Melalui kaedah tertentu, pihak pengurusan boleh menentukan sama ada sesuatu risiko itu tinggi, sederhana atau rendah tahapnya, dengan itu bolehlah pihak pengurusan syarikat mengambil tindakan bersesuaian dengan risiko terbabit.

        Sebagai contohnya, seorang usahawan yang cintakan kebajikan iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sanggup mengambil risiko dalam perniagannya apabila beliau melibatkan diri dalam projek besar iaitu penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil  Pam Sdn. Bhd., beliau juga menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas. Hasil daripada risiko yang diambil, beliau telah Berjaya menpopularkan pelabuhan tersebut sehingga dapat meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa.

        Kini, sejarah kejayaan Tan Sri Mokhtar Al- Bukhary telah memberi inspirasi kepada seluruh warga usahawan di Malaysia. Kisah yang hanya bermula sebagai seorang peniaga sayur dan roti canai di pasar dan pada hari ini beliau mampu memegang sejumlah pegangan atau syer dalam beberapa buah syarikat tempatan juga antarabangsa dan menubuhkan Yayasan al-Bukhary iaitu badan kebajikan milik beliau sendiri dan seorang usahawan yang mengutamakan kebajikan kepada masyarakat.

3.         PEMERHATIAN
Usahawan yang berjaya adalah seorang yang mampu berfikiran jauh kehadapan, kritis, kreatif dan inovatif kearah keusahawanan kerana mereka perlu mengenalpasti peluang-peluang dalam persekitaran mereka dengan cara melalui pemerhatian yang teliti supaya boleh menjana idea, gambaran atau langkah-langkah ke arah satu tindakan untuk merebut peluang yang ada dan juga mampu menyelesaikan sesuatu masalah dalam perniagaan. Usahawan yang berjaya dapat menganalisis persekitaran dan merebut peluang dengan cepat. Mereka bijak memerhati keadaan perniagaan tanpa melepaskan semua peluang yang ada dalam mengembangkan perniagaan.

        Melalui kaedah pemerhatian ini, usahawan mampu menilai dan membuat keputusan dalam mengembangkan proses perniagaan yang dimiliki supaya mereka boleh terus berjaya atau sekurang-kurangnya mampu bertahan dalam usaha mereka. Amalan memerhati persekitaran adalah bertujuan menganalisis pemerhatian secara kritis dan kreatif bagi menghasilkan idea. Melalui pemerhatian juga, usahawan akan menyesuaikan idea baru dengan keperluan masyarakat dan persekitaran dan akhir sekali berusaha melakukan peningkatan kualiti idea.

       Usahawan yang menggunakan kaedah ciri pemerhatian dalam perniagaannya ialah Harsukhlal Maganlal Kamdar, peneraju gedung pakaian Kamdar. Harsukhlal memulakan perniagaannya dalam bidang import eksport tetapi diberhentikan akibat Perang Dunia Kedua. Selepas itu, beliau sering menunggang basikal 20 hingga 30 batu sehari di sekitar Pulau Pinang bagi melihat dan memerhati bidang perniagaan yang berpotensi. Kemudian beliau telah pergi ke Singapura bagi menyertai perniagaan import eksprot kain, sagu, kekacang, kain guni dan bermacam barang lagi. Beliau telah bekerja dan mencari pengalaman selama tiga tahun di Singapura. Pada tahun 1950, Harsukhlal telah membuka perniagaan yang diberi nama BA Lalaji dan kemudiannya bertukar kepada BH Kamdar & Kamdar. Perniagaannya telah berkembang dan beliau turut membuka kedai di Kuala Lumpur. Melalui pemerhatian yang dilakukan beliau berpendapat Kuala Lumpur merupakan sebuah kawasan yang berpotensi untuk menjalankan perniagaan dalam jangka masa panjang.  Ekoran itu, Harsukhlal telah meninjau peluang untuk membuka cawangan yang lain di Kuala Lumpur dan pada tahun 1980-an, beliau membuka sebuah kedai Kamdar di Jalan Chow Kit dan di Globe Silk Store.      

4.         BERVISI
Usahawan yang berjaya merupakan seorang usahawan yang berpandangan jauh dan sentiasa berfikiran kehadapan dalam mencipta sesuatu yang baharu untuk perniagannya. Ciri seperti ini sangat penting dan perlu ada dalam diri setiap usahawan di dunia ini. Usahawan yang berpandangan jauh atau bervisi ini sentiasa melihat persekitarannya, adakah wujud peluang atau ancaman terhadap perniagannya. Walau bagaimana pun, seorang usahawan yang bervisi perlu berupaya mengawal ancaman dari sudut luaran mahupun dalaman perniagaan sebagai satu peluang untuk meningkatkan lagi keupayaan syarikat sehingga dapat bersaing dengan syarikat yang lain.

     Berikutan keadaan persekitaran seperti keadaan ekonomi yang tidak menentu, kejatuhan nilai matawang, kuasa beli pengguna menurun dan sebagainya, ia boleh mendatangkan kerungsingan kepada banyak syarikat untuk bertahan dalam perniagaan mereka. Oleh itu, sebagai seorang usahawan yang bervisi dan sentiasa berpandangan jauh, seharusnya para usahawan perlu bijak mencari peluang yang wujud dalam persekitaran supaya dapat mengekalkan kejayaan sesebuah perniagaan tersebut.
  
          Di negara kita Malaysia, terdapat seorang tokoh yang memegang falsafah ‘tiada apa yang mustahil’ iaitu Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sunway. Beliau merupakan seorang yang bervisi. Hal ini kerana beliau telah lama bercita-cita untuk membangunkan Bandar Sunway, namun ramai yang kurang percaya dengan kemampuan beliau untuk membangunkan kawasan bekas lombong itu. Dengan semangat yang tinggi dan jiwa yang kental beliau berjaya membangunkan Bandar Sunway di kawasan bekas lombong tersebut yang kini telah bernilai RM 2 bilion. Bandar tersebut merupakan bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti pusat pengajian, perhotelan, pusat peranginan, kompleks membeli belah, hospital berteknologi tinggi serta kawasan perumahan yang unggul di kawasan Lembah Klang.
            Keazaman dan semangat yang tinggi oleh Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah boleh dijadikan sebagai pemangkin kepada uasahawan di luar sana untuk berani mengambil peluang dan sentiasa bervisi dalam menjalankan perniagaan demi meningkatkan keupayaan perniagaan dalam pemperoleh keuntungan.   

5.          KEGAGALAN SEBAGAI SATU PILIHAN
Kejayaan seorang usahawan banyak bergantung kepada kemampuannya. Liku-liku hidup seorang usahawan adalah kompleks. Usahawan perlu mengharungi berbagai-bagai halangan dan masalah perniagaan. Usahawan perlu mempunyai ketabahan dan kecekalan diri yang tinggi dan sanggup menerima kegagalan dan belajar melaluinya. Usahawan yang cekal akan berusaha mencari jalan untuk mengatasi rintangan-rintangan dan mampu menjadikan kegagalan sebagai satu pilihan untuk maju dalam bidang perniagaan. Usahawan juga, harus peka kepada kemampuan sendiri dan mengenalpasti halangan dalaman dan luaran supaya halangan-halangan tersebut dapat diatasi.

       Kebanyakan faktor-faktor yang boleh menjadikan seorang usahawan itu berjaya dengan cemerlang terletak kepada usahawan itu sendiri. Faktor-faktor ini terletak kepada kemampuan usahawan untuk mengawal dan memperbaikinya. Oleh sebab itu, seorang usahawan tidak seharusnya menyalahkan pihak-pihak lain apabila menemui kegagalan. Usahawan perlu bangkit dan sentiasa melihat kepada diri sendiri dan bersedia memperbaiki apa juga kelemahan yang ada. Tiada jalan ringkas dan pengganti bagi usaha yang gigih dan tekun.
   
         Antara tokoh usahawan yang memilih kegagalan sebagai satu pilihan untuk terus maju dalam bidang perniagaan ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Dalam sejarah kejayaan beliau menjadi usahawan berjaya, beliau turut mengalami kegagalan iaitu pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. semua binatang ternakan mati begitu sahaja. Oleh sebab itu, beliau telah beralih kepada perniagaan menjual daging ais secara kecil-kecilan dan tidak lagi menjalankan aktiviti peternakkan. Selain itu. beliau juga telah menubuhkan Syarikat Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979, iaitu sebuah syarikat usaha sama dengan New Zealand Milk Products dan memasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor. Namun ekoran dari kegawatan ekonomi, beliau telah menjual kepentingannya  pada tahun 80-an. Beliau tidak pernah berputus asa di sebalik kegagalan terdahulu, malahan beliau semakin bergiat aktif dalam bidang perniagaan dalam sektor yang lain.

6.          KETERBUKAAN BUDAYA
Usahawan yang berjaya haruslah memiliki ciri keterbukaan budaya dalam menguruskan sesebuah perniagaan. Keterbukaan budaya membawa maksud, usahawan boleh menerima pendapat dan pandangan orang lain serta persekitaran sekeliling di dalam organisasi perniagaannya. Usahawan mempercayai dan boleh bekerjasama dengan pekerja bawahan yang lain dan tidak mudah dipengaruhi orang lain dalam menguruskan perniagaan. Usahawan amat memerlukan tenaga dalaman dan luaran yang tinggi bagi memotivasikan beliau menjayakan perniagaan mereka. Dalam proses membuat keputusan, usahawan perlulah mengambil kira kesemua faktor dalaman dan luaran organisasi serta mengambil kira kesemua pihak yang berkepentingan dengannya. Usahawan menggunakan strategi-strategi pengaruh bagi mewujudkan kepintaran dan kecekapan rangkaian yang lebih luas.

           Usahawan pastinya seseorang yang dapat berfikiran bebas dan matang. Seseorang yang berfikiran bebas dapat melihat, merebut dan menganalisis peluang yang ada dengan sendirinya.Usahawan sentiasa membuka mindanya serta tidak mudah terpengaruh dengan pengaruh luar. Usahawan akan menjadikan pendapat orang lain seperti rakan kongsi, pengurus dan pekerja bawahannya sebagai panduan.

           Antara tokoh usahawan Malaysia yang mengamalkan ciri keterbukaan budaya dalam perniagaan ialah Tan Sri Ananda Krisnan. Beliau mempercayai pekerja dibawahnya. Beliau percaya dengan kepakaran para pekerjanya dalam menjana idea dalam perniagaan dan ini di buktikan apabila beliau telah memberi tanggugjawab dalam mengurus kepada beberapa pekerjanya yang professional dan berkaliber. Tan Sri Ananda Krisnan percaya bahawa idea pengurusan  akan lebih menarik apabila mendapat pelbagai buah pandangan dari pihak-pihak lain. Hal ini, yang menyebabkan beliau mampu menguruskan dan mengembangkan perniagaannya dalam bidang Telekomunikasi iaitu Maxis dan Astro. Kepakaran pekerjanya dikongsi dan digabungkan menjadi satu idea pengurusan yang mantap. Ini dibuktikan dengan nilai kekayaan syarikat Telekomunikasinya iaitu Maxis dan Astro yang sudah mencecah angka 81.48 billion.

7.          BERORIENTASIKAN HASIL
Usahawan yang berjaya akan merancang dan menetapkan segala matlamat dan wawasan dalam perniagaan. Usahawan yang berorientasikan hasil sentiasa menitik beratkan standart dan mutu pekerja yang tinggi nilainya yang akan mendapat kelebihan daya saing dengan pesaing yang lain dalam sektor yang sama yang boleh mendatangkan hasil yang lumayan. Hal ini disebabkan pengguna sentiasa mememerhati dan mengkaji serta membandingkan kualiti sesuatu produk sebelum memilikinya. Melalui ciri usahawan berorientasikan hasil, usahawan berusaha untuk menghasilkan produk yang berkualiti yang mampu memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan serta membolehkan perniagaan berkembang dengan maju.
      Sebagai contoh, usahawan yang mempunyai ciri keusahawan berorientasikan hasil ialah Steve Job, peneraju industri komputer yang mempunyai ciri-ciri kreatif dan inovasi. Beliau merupakan pengasas kepada Apple Computer Corporationdan merupakan orang terkaya sebelum mencapai umur 30 tahun. Beliau pernah menerajui next Corporation yang menawarkan program pendidikan system pengkomputeran, tetapi mendapati peluang perniagaan dalam bidang perkakasan komputer lebih memberi peluang keuntungan yang tinggi berbanding dengan perisian komputer. Sehingga kini, jenama Apple telah mendapat tempat dihati penggemar gajet seluruh dunia yang menyebabkan syarikat Apple memperolehi hasil keuntungan berlipat kali ganda.

8.          BERORIENTASIKAN KUMPULAN
Berorientasikan kumpulan merupakan salah satu daripada ciri-ciri seorang usahawan yang berjaya. Usahawan yang mempunyai ciri-ciri seperti ini akan lebih mudah dalam mengawal dan menguruskan perniagaan beliau berbanding usahawan yang lain. Usahawan berupaya untuk menjalankan perniagaan dengan lancar melalui oreintasi berkumpulan. Hal ini kerana, usahawan akan membuat beberapa kumpulan mengikut kepakaran yang dimiliki oleh pekerja dalam syarikat tersebut. Oleh hal yang demikian, proses penjanaan keuntungan syarikat akan berjalan dengan lebih lancar dan teratur.

       Usahawan perlu bijak dalam mengagihkan pekerja dalam beberapa kumpulan mengikut kemahiran dan kepakaran pekerja tersebut supaya pekerja dapat menjalankan tugas masing-masing dalam satu kumpulan dengan baik. Sekiranya pekerja dapat menyesuaikan diri dengan kaedah bekerja dalam kumpulan ini, maka mereka akan lebih bersemangat dan bermotivasi kearah mencapai matlamat perniagaan iaitu meningkatkan keuntungan.

     Sebagai contoh, usahawan kedua terkemuka di Malaysia Tan Sri  Ananda Krishnan. Satu fakta menarik berkenaan beliau adalah beliau tidak menguruskan semua perniagaannya secara sendiri, akan tetapi beliau melepaskan tanggungjawab tersebut kepada beberapa individu professional yang cukup berkaliber dalam membentuk sebuah kumpulan yang proaktif untuk menjalankan perniagaan beliau. Antara bukti kejayaan Tan Sri Ananda Krishnan adalah 3 syarikat utamanya telah berada di Bursa Saham Malaysia iaitu Astro, Maxis dan Bumi Armada. Ketiga-tiga syarikat ini mencecah nilai pasaran sebanyak RM81.48 Billion. Walaulaupun beliau merasakan nikmat kejayaan dan juga padah kegagalan sebagai seorang usahawan, beliau tetap meneruskan usaha beliau dalam mengembang dan memajukan lagi syarikat-syarikat miliknya sehingga ke tahap global. Semangat dan kekentalan hati seorang uasahawan seperti Tan Sri Ananda Krishnan ini perlu menjadi contoh yang baik kepada para bakal usahawan di Malaysia.

9.          PROAKTIF
Proaktif bermaksud sikap positif yang merangka dan mengawal tindakan yang dilakukan jauh lebih awal daripada jangkaan akan berlakunya sesuatu perkara atau kejadian. Sebagai seorang usahawan yang berjaya, sikap proaktif dalam diri perlu dipraktikkan didalam perniagaan masing-masing. Usahawan merupakan nakhoda dalam syarikat atau sesebuah perniagaan. Oleh itu, seorang usahawan yang bersikap proaktif akan sentiasa melihat atau bijak mencari peluang untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

     Usahawan yang proaktif akan berpandangan jauh dan sentiasa berusaha untuk melakukan pembaharuan atau inovasi terhadap perniagaannya. Selain itu, usahawan ini juga lebih gemar membuat perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang berkenaan syarikatnya. Usahawan perlu bijak merangka strategi perniagaan masing-masing supaya sebarang kesilapan dalam operasi perniagaanya dapat diperbetulkan secepat mungkin. Hal ini kerana proses pembetulan berkemungkinan akan mengambil masa yang agak lama dan mungkin akan menjejaskan keuntungan perniagaan mereka.
  
       Tokoh yang sesuai untuk dijadikan role model dalam ciri usahawan proaktif ini ialah Tan Sri Tony Fernandez, pengasas “Tune Air Sdn Bhd”. Semasa kepimpinan beliau, syarikat penerbangan fledging dengan hutang RM40 juta menjadi sebuah perniagaan yang berkembang. Syarikat penerbangan itu telah membayar balik semula hutang dan telah berada dalam kedudukan yang menguntungkan dari hari pertama operasinya. Kurang daripada 3 tahun, AirAsia meningkatkan lagi bilangan pesawatnya dari 2 boeing sederhana 737-300 kepada dan kini beroperasi lebih daripada 100 penerbangan domestic dan antarabangsa setiap hari dari KLIA , Johor Bahru, Bangkok dan Jakarta.

      Hal ini membuktikan bahawa Tan Sri Tony Fernandez merupakan seorang yang proaktif. Beliau percaya bahawa setiap permulaan perniagaan itu memerlukan pengorbanan dan risiko yang tersendiri. Namun, dengan perancangan yang rapi dan strategi yang tepat, beliau dapat meraih kejayaan dalam masa yang singkat. Oleh itu, tidak hairanlah jika beliau diiktiraf sebagai tokoh usahawan Malaysia yang berjaya terutamanya dalam bidang perniagaan penerbangan di rantau Asia. 
2
    

Rujukan

 

Ang, J. (2014). Retrieved from usahawanjennyang.blogspot.my
Mahmood, R., Nasyrah, A., Mohd Saad, R., Yusop, M., Norria, Syahrina, . . . Habshah. (2010). Prinsip-prinsip Keusahawanan Pendekatan Gunaan Edisi Kedua. Singapore: CENGAGE Learning.
Mei, K. T. (2013). Retrieved from usahawanwibawa.blogspot.my/2013/09/tony-fernandes-airasia.html



Saturday, 10 October 2015

My First Post!!

Yeayyy. This post going to be my first post. dah active kan account ni since 2011. tak pernah guna. Tapi since our lecturer ask us to make a blog for one of our assignment. so I tried my best to make one. haha. Dari dulu pening macam mana nak buat blog. Alahai. Petik jari je. alahaiii. Di umur 21 tahun ni baru ada blog. malu dengan adik-adik. So welcome to my blog.Just call me zeera. Panda lovers. Single but not available. haha. I mean I am taken. ceh poyo. erm one of UUM's (Universiti Utara Malaysia) student. So that's all. Selamat bersyok sendiri cakap sorang-sorang wahai zeera :)