Saturday, 24 October 2015

TOKOH USAHAWAN BERJAYA (KEUSAHAWANAN UUM '15)

 BIBLIOGRAFI DATO’ ALIFF SYUKRI KAMARZAMAN

Kebanyakan orang memasang impian untuk menjadi seorang usahawan, menjadi bos serta mencipta kerjaya sendiri adalah sangat menarik. Namun, untuk membuka sebuah perniagaan pun ianya pasti akan memakan waktu yang panjang, lebih-lebih lagi jika berhasrat untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Usahawan ditakrifkan sebagai seorang yang hidup bernafaskan kejayaan serta keinginan yang meluap-luap untuk berjaya meskipun perlu berhadapan dengan pelbagai risiko perniagaan.
Menggunakan tagline “Terlajak Laris” sebagai salah satu strategi pemasaran, beliau memang boleh dianggap benar-benar berjaya. Tagline yang mudah dan ringkas itu seakan-akan menjadi satu fenomena yang kini meniti di bibir segenap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Siapakah gerangan pencetus fenomena itu? Beliau ialah jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri bin Kamarzaman. Beliau dilahirkan pada 03 April 1987 di Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang dan kini berusia 28 tahun. Beliau telah berpindah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor di mana kemudian di Sekolah Menengah Telok Gadong, Klang. Kemudian, beliau meneruskan lagi pengajian di Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Selepas sahaja tamat pengajian di sekolah pondok, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah Alam sehingga tigkatan 5 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Taylor College. Anak ketiga kepada pengasas Sendayu Tinggi itu mengakui menerajui perniagaan yang didominasi wanita bukan satu perjalanan yang mudah. Masalah dari segi modal dan kesukaran mencari kepercayaan daripada orang lain kadangkala melemahkan semangat beliau. Namun, mengingatkan asal-usul, kesusahan, dan hobi beliau yang gemar menghias dan memasak sejak kecil, menjadikan beliau untuk terus kuat berniaga. Kesusahan itu menjadikan beliau mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengalaman itu beliau jadikan didikan untuk menerajui syarikatnya kini.
Penglibatan beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kini. Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia tujuh tahun lagi sewaktu tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk berniaga apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih 50 sen manakala beliau hanya 20 sen. Melihatkan keadaan di sekeliling rumah neneknya terdapat pokok mempelam dan jambu tumbuh subur, beliau tanpa meminta pertolongan, memanjat pokok tersebut dan hasilnya dijadikan jeruk untuk dijual di sekolah. Jika budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku, namun untuk beliau, pasti akan ada satu lagi beg tambahan untuk memuatkan jeruk yang dihasilkannya untuk dijual pada harga antara 10 hingga 20 sen. Perniagaan kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan lantas memberi keyakinan kepada beliau untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah dengan menjual pelbagai jenis kerongsang dan juga tudung serta barangan kosmetik. Habis zaman persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal. Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, namun ianya menjadi titik permulaan untuk beliau serius berkecimpung dalam bidang perniagaan. Baginya, malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas berhempas pulas berniaga dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul, beliau mula menyewa sebuah kiosk di pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor.
Beliau telah berkahwin dan kini mempunyai tiga orang cahaya mata, bergelar suami dan bapa pada usia muda serta tinggal di kota raya membuatkan beliau perlu mencari jalan menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau akan membuat bengkel kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta mahupun kerajaan. Beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa bengkel itu dijalankan seperti pepatah melayu “Sambil menyelam minum air”. Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM5 hingga RM10 sahaja. Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun sedar risiko muflis itu ada, namun selepas membuat kajian selama beberapa bulan, syarikatnya D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. berjaya mengeluarkan gincu kolagen pertama di Malaysia. Pada peringkat awal pengenalan jenama D’Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat.
Pertubuhan awal syarikat D'Herbs Holdings (M) dimana dahulunya dikenali sebagai D'Herbs Healthy Marketing telah ditubuhkan pada September 2010. Pada awalnya, mereka hanya beroperasi di lot kedai di tingkat 2 dengan seorang pekerja sahaja dan mempunyai 4 produk utama iaitu Bedak Asas, Produk pelansingan, Minuman Kesihatan Wanita, dan Lipstick Rawatan Bibir. Namun, kini beliau telah mengorak langkah maju setapak kehadapan dengan menghasilkan hampir 90 rangkaian produk baru dengan seramai 35 orang kakitangan yang membantu melancarkan perjalanan syarikat. Bermula dengan hanya beroperasi di tingkat 2, mereka telah berpindah di lot kedai bawah dan telah menyewa dua lot kedai bagi melancarkan urusan perniagaan dan memudahkan semua rakan niaga berurusan. Tahun 2012 merupakan tahun kemuncak bagi produk D’Herbs di mana beliau telah bernaung di bawah label syarikat Sendirian Berhad dan telah mengembangkan perniagaan dengan berpindah ke bangunan 4 tingkat milik syarikat yang lebih strategik dan selesa. Dengan perpindahan ini, syarikat mampu menyakinkan semua stokis dan pengedar untuk menjual dan memasarkan produk D’herbs dengan lebih meluas dan berkembang maju. Sehingga kini, D’Herbs telah mengiklankan produknya di majalah dan akhbar yang terlaris di Malaysia seperti Mingguan Wanita, Midi, Keluarga, Harmoni, Metro, di mana iklan ini telah disiarkan setiap minggu dan ianya memberi impak yang sangat besar kepada prestasi jualan produk beliau. Beliau juga seringkali keluar di kaca-kaca televisyen atau bersiaran di radio-radio Nasional bagi mempromosi dan mengiklanan produk keluaran syarikat beliau sendiri, dan ternyata ianya masih mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Lebih membanggakan lagi, D'Herbs juga telah menaja program-program hebat seperti Akademi Fantasia dan Bintang Mencari Bintang yang disiarkan di Astro dan TV3. Malah, Da’i Musim Ke-3 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada hari Ahad yang lalu juga merupakan rancangan terbaru tajaan syarikat jutawan muda ini. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah bahan-bahan yang digunapakai adalah 100% berasaskan herba dan juga murah berbanding produk kesihatan lain yang terdapat di pasaran. Produk D’ Herbs kini boleh didapati dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi, kedai jamu, dan pusat jualan D’ Herbs sendiri. Bahkan, beliau turut menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, kerana beliau berharap dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna.
Malah dengan prestasi jualan yang semakin meningkat hari demi hari, beliau juga telah membuka beberapa anak syarikat iaitu Megah Perawan Sdn. Bhd dimana mereka hanya berurusan dengan seorang stokis tunggal yang dilantik dan akan bertanggungjawab memasarkan produk Megah Perawan Sdn. Bhd di seluruh Malaysia dan setakat ini permintaan produk ini amat mendapat sambutan daripada pengguna-pengguna di seluruh Malaysia. D’Herbs juga telah membuka sebuah syarikat yang dinamakan Aliff Herbs Manufacturing Sdn. Bhd di mana syarikat ini khusus untuk pengilangan produk kesihatan dan kecantikan dan kami juga membuka ruang kepada syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat ini. Di samping itu, produk D’herbs menjadi pilihan hati apabila mereka menyediakan kemudahan dan perkhidmatan dari awal sehingga akhir penghasilan sesebuah produk termasuk penghasilan kotak dan reka bentuk produk mengikut citarasa dan kepuasan pelanggan. Sehingga kini D'Herbs telah menjadi satu jenama yang semakin mendapat tempat di hati pengguna samada di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan beroperasinya secara rasmi di Wisma D'Herbs di Kota Damansara dan beliau juga telah berazam untuk menjadikan produk D’Herbs sebagai salah satu jenama kosmetik yang terkenal di Malaysia serta negara-negara jiran yang lain dan matlamat sehingga ke seluruh dunia harapnya.
Bagi menjayakan matlamat yang diingini, penetapan visi, misi dan objektif syarikat adalah elemen yang sangat penting di mana ianya merupakan pandu arah untuk mencapai matlamat organisasi. Maka dengan itu, beliau telah meletakkan visi utama D’Herbs untuk menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan dengan konsep terbuka yang lebih mudah dan ringkas sekaligus mempunyai sistem yang terbaik dari segi pengurusan, keberkesanan, kualiti serta harga yang berpatutan di mana ianya mampu dimiliki oleh semua golongan sekaligus dapat menjana pendapatan serta keuntungan bagi kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan peniaga. Manakala, misi bagi menjadikan syarikat D’Herbs Holdings (M) sebagai satu syarikat single level, mereka akan membantu golongan wanita dan lelaki yang mengalami masalah kesihatan dalaman dan luaran untuk tampil dengan lebih yakin dan bergaya. Di samping itu juga, ianya dapat membantu mereka untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan dengan menjual produk daripada D'Herbs.
Syarikat D’Herbs Holding (M) yang telah beroperasi secara kukuh selama 4 dengan mengeluarkan pelbagai jenis produk-produk kecantikan bagi semua golongan umur, jantina, bahkan agama. Produk dengan tagline “Terlajak Laris” itu juga telah menyebabkan penghasilan produk daripada syarikat ini menjadi antara produk yang terlaris di pasaran. Syarikat beliau juga turut menyediakan sistem latihan dan bantuan aktiviti bagi mereka yang berminat menjadi pengeluar mahupun pengedar produk-produk kecantikan. Bagi pekerja di bawah D’Herbs Holdings (M), bonus serta ganjaran yang menarik dan mampu dicapai juga antara sebab D’Herbs menjadi syarikat pilihan untuk bekerja. Hal ini demikian kerana, ianya dapat dijadikan sebagai motivasi kepada pekerja untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja. Malahan, dewasa ini, penggunaaan IT telah menjadi medium penting dalam kehidupan seharian memandangkan ianya mampu mempermudahkan segala urusan. Implikasinya, perniagaan atas kalian kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan di mana syarikat D’Herbs juga telah mewujudkan satu kemudahan online. Tujuan lain penubuhan kemudahan online ini adalah untuk memudahkan para pelanggan membuat pesanan sekiranya tidak mempunyai masa terluang untuk singgah di kiosk atau kedai-kedai jamu yang berhampiran. Oleh itu, bagi segala pesanan produk D’Herbs atas talian (online), ianya boleh didapati melalui Syarikat D’Herbs Global Marketing yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan belian atas talian dengan melayari laman web www.deherbs.com.my atau www.facebook.com/DeherbsHealthySdnbhd. Kesimpulannya, D’Herbs yang merupakan sebuah syarikat berlesen dan milik penuh Bumiputera di samping komitmen pengasas D’Herbs itu sendiri, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman yang begitu komited dengan pengeluaran produk yang berkualiti daripada kilangnya sendiri serta keutamaan Bersih, Suci, dan Halal terhadap produk keluarannya menyebabkan D’Herbs menjadi produk No. 1 pilihan semua.

CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN DATO ALIFF SYUKRI KAMARZAMAN
Menjadi seorang usahawan berjaya, pengorbanan yang besar serta masalah dan cabaran yang dihadapi setiap hari seolah-olah tiada akhirnya. Maka ternyata, sifat keusahawanan bukan untuk semua orang tapi bagi mereka yang berusaha gigih dan tidak mudah melenting. Seperti ikon jutawan muda, Dato Aliff Syukri Kamarzaman yang mempunyai empayar syarikat milik sendiri iaitu, D’Herbs Holdings (M) atas kegigihan dan ciri-ciri seorang usahawan berjaya yang wujud dalam diri beliau, kini beliau telah pun menempa nama dalam bidang perniagaan yang didominasi oleh golongan wanita.

1.         RANGKAIAN
Bidang perniagaan abad ke-21, satu koleksi kad perniagaan di dalam simpanan tidak membuatkan seseorang mempunyai banyak kenalan kerana hubungan rangkaian yang wujud adalah yang membawa kepada peluang -peluang perniagaan dan memberi manfaat dalam jangka yang panjang di samping saling menguntungkan di antara satu sama lain. Namun, rangkaian bukan sahaja dari perspektif kenalan tetapi ianya juga bergantung kepada sejauh mana produk yang dihasilkan mampu dipasarkan. Jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman yang sangat terkenal dengan produk D’Herbs “Terlajak Laris” telah menggunakan medium seperti media massa dan media elektronik bagi mempromosikan produk keluaran DHerbs. Dapat disimpulkan bahawa beliau mempunyai kenalan rangkaian yang luas terutama dalam mempromosi dan mengiklankan produk beliau. Kenyataannya, sekiranya beliau tidak mempunyai kenalan maka, beliau tidak akan mampu mempromosikan D’Herbs sehingga ke negara Singapura dan Brunei. Bahkan, melebarkan sayapnya dengan membuka beberapa anak syarikat seperti Megah Perawan Sdn. Bhd dan Aliff Herbs Manufacturing juga antara tindakan yang bijak. Kini, beliau telah membuka rangkaian penghasilan produk kecantikan dan kesihatan kepada mana – mana syarikat yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat ini dengan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan dari mula penghasilan kotak sehingga reka bentuk mengikut citarasa dan kepuasan pelanggan itu sendiri.

2.         BERVISI
Usahawan yang berwawasan adalah mereka yang mempunyai kebolehan merangka strategi di samping, keupayaan melihat sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Bapa kepada tiga orang cahaya mata, Dat Aliff Syukri Kamarzamanmerupakan seorang yang mempunyai misi yang jelas bukan sahaja dalam hidupnya malah terhadap syarikat miliknya juga. Beliau telah menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, dan berharap beliau juga dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna yang telah menjadikan produk D’herbs sebagai produk No.1 di pasaran. Pada masa yang sama, beliau mempunyai wawasan untuk menjadikan D’Herbs Holdings (M) sebagai sebuah syarikat single level yang mempunyai pengurusan serta keberkesanan kualiti produk di mana ianya boleh didapati oleh semua golongan usia dan kelas sosial.

3.         PROAKTIF
Dalam bidang perniagaan, sesuatau perkara akan berubah dengan begitu pantas, di mana jika inovasi dilakukan pada hari ini dan akan menjadi usnag pada hari esok. Oleh itu, bagi seorang usahawan yang berjaya, mereka perlu sentiasa berjalan seiringan dengan trend yang sentiasa berubah-ubah. Mereka boleh menghadiri seminar, membaca jurnal industri, atau sebarang bentuk bahan bacaan yang dapat memberikan input untuk terus melakukan inovasi. Seperti peringkat awal pengenalan jenama D’ Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Malahan, keputusan yang dilakukan beliau untuk mengeluarkan produknya sendiri merupakan satu langkah drastik yang boleh membuatkan beliau jatuh muflis. Namun, selepas beliau melakukan kajian selama beberapa bulan, beliau yakin bahawa produk yang dihasilkan mampu menjadi produk terhangat di pasaran.

4.         PEMERHATIAN
Usahawan yang berjaya adalah mereka yang menyedari dan sentiasa memerhati apa yang terjadi pada dunia dan keadaan sekeliling mereka. Hal ini demikian kerana, kebanyakkan idea yang datang adalah hasil daripada pemerhatian yang dilakukan. Seperti tagline hangat yang menjadi datu fenomena dikalangan masyarakat iaitu “Terlajak Laris”. Menurut beliau sebelum wujud tagline tersebut, pelbagai jenis tagline digunapakai namun produk beliau tidak mendapat sambutan yang hangat. Kemudian, beliau mendapati bahawa masyarakat kini suka pada bunyi dan perkara yang pelik. Maka dengan itu, tagline “Terlajak Laris” dengan suara yang yang meruncing dengan gaya yang lembut telah menjadi satu fenomena hangat sehingga produk D’Herbs terjual laris di pasaran. D’Herb Holdings (M) yang pada ketika itu masih lagi syarikat kecil telah menggunakan selebriti terkenal seperti Bienda dan Watie Elite sebagai jurucakap produknya, dan ternyata produk beliau telah menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan juga Brunei. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah ianya murah berbanding produk kesihatan lain di pasaran. Produk D’ Herbs boleh didapati dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai kerana beliau yakin dengan harga mampu milik tersebut, produknya mampu pergi jauh.

5.         PENGAMBIL RISIKO
Usahawan berjaya adalah mereka yang bermula dari kegagalan dan tidak takut mengambil risiko. Mereka adalah golongan yang berhadapan dengan risiko pada setiap hari. Bahkan setiap risiko yang diambil, pastinya sudah dihitung tentang kebaikan dan keburukannya. Jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman juga mengalami keadaan yang sama bermula dari sekolah rendah sehingga beliau sudah mempunyai empayar perniagaan sendiri. Seperti contoh, selepas beliau tamat persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil – kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal. Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan bahkan beliau pernah dicaci, diherdik, dan ditengking kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, namun ianya telah menjadi titik permulaan untuk beliau serius berniaga. Di samping itu juga, melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau telah gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun beliau sedar risiko muflis itu ada, namun bagi beliau, prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting.

KESIMPULAN
Usahawan adalah individu yang mempunyai ciri-ciriistimewa yang dapat membezakan merek dengan individu yang lain. Individu atau masyarakat yang ingin mengecapi kejayaan seperti usahawan perlulah mendalami dan mempunyai ciri-ciri usahawan seperti yang telah dibincangkan. Terdapat mitos yang sering diperkatakan terhadap usahawan. Namun dengan ilmu pengetahuan yang mantap, masyarakat mula sedar akan kepentingan usahawan dalam membangunkan ekonomi negara. Setiap individu berpeluang untuk mengecapi kejayaan sebagai seorang usahawan kerana ciri-ciri keusahawanan yang ada pada kebanyakan usahawan bukanlah dilahirkan secara semulajadi tetapi adalah disebabkan faktor-faktor seperti mempunyai dayainisiatif dan kejayaan yang tinggi, fokus kawalan dalaman yang tinggi serta berkeyakinan terhadap kebolehan dirilah yang menjadikan mereka begitu hebat di mata dunia.


RUJUKAN

Ang, J. (2014). Retrieved from usahawanjennyang.blogspot.my
Mahmood, R., Nasyrah, A., Mohd Saad, R., Yusop, M., Norria, Syahrina, . . . Habshah. (2010). Prinsip-prinsip Keusahawanan Pendekatan Gunaan Edisi Kedua. Singapore: CENGAGE Learning.
Mei, K. T. (2013). Retrieved from usahawanwibawa.blogspot.my/2013/09/tony-fernandes-airasia.html

Zainal, F. (2015, 3 23). Tokoh-perniagaan: Kisah-jutawan-produk-terlajak-laris. Retrieved 18 10, 2015, from www.usahawan.com: http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/kisah-jutawan-produk-terlajak-laris.html

No comments:

Post a Comment